Lebih baik berkawan dengan musuh daripada kawan tikam belakang .
Lebih baik berkawan dengan musuh daripada kawan tikam belakang .
Keputusan kerjasama BN-PN itu turut mencetuskan kemarahan sebilangan besar penyokong kedua-dua parti berkenaan terutamanya masyarakat Melayu yang meluahkan kekecewaan mereka terhadap pemimpin UMNO yang dikatakan sanggup menerima kerjasama politik dengan DAP. Mengulas lanjut, Azhar turut mengajak masyarakat Melayu di Perak supaya memahami dinamika perjuangan politik dalam landskap politik berbeza pada ketika ini memerlukan semua pihak memiliki pola pemikiran baharu. Jelasnya, pihaknya memahami perasaan marah penyokong-penyokong tegar UMNO dan BN yang mungkin tidak dapat menerima kerjasama politik parti itu dengan DAP, bagaimanapun kelompok itu sebenarnya belum mendapat penjelasan tuntas daripada pucuk kepimpinan BN Perak. "Saya memahami penyokong-penyokong tegar BN mungkin tidak boleh menerima keputusan gabungan kerajaan BN-PH kerana adanya DAP... Saya pun pada mulanya tidak berapa setuju kerana sikap DAP sebelum ini yang mengecilkan hati kita. "Tetapi setelah saya menganalisis strategi masa hadapan BN mendepani PRU akan datang sekiranya bersama PH, kita lebih mempunyai peluang untuk menguasai semula kerusi pilihan raya majoriti Melayu berbanding bersama PN dan Pas. "Lagipun BN sudah menetapkan satu perjanjian dengan PH dan DAP untuk mengelakkan mereka tikam belakang dan cuba besar kepala dengan sebarang tuntutan bukan-bukan. Penyokong-penyokong tegar BN perlukan penjelasan dan kita akan lakukannya," katanya. Azhar turut memberi jaminan kerajaan BN-PH akan lebih stabil dan efektif berbanding kerajaan PH sewaktu dipimpin Ahmad Faizal selaku Menteri Besar ketika itu. "Peja (Ahmad Faizal) dapat jadi Menteri Besar dengan tipu daya di mana parti-parti dalam PH ketika itu berebut jawatan tertinggi kerajaan negeri itu sesama mereka setiap masa. "Kali ini, PH merayu kepada BN untuk bergabung menjadi kerajaan dengan tawaran jawatan Menteri Besar sememangnya disediakan khas untuk BN. Jadi tiada unsur perebutan jawatan MB dan keterangkuman agihan jawatan Exco Kerajaan Negeri turut melambangkan komposisi kaum di Perak," ujarnya. Azhar turut menganggap PN dan Pas sebagai 'kawan tikam belakang' susulan koalisi itu pernah beberapa kali ditipu oleh Pas sewaktu rundingan pembentukan kerajaan campuran negeri Perak selepas PRU14. "Saya masih ingat apabila BN memperoleh 27 kerusi DUN dan memerlukan tiga kerusi DUN dimenangi Pas selepas PRU14 untuk membentuk kerajaan negeri, Pas pada mulanya sudah menyatakan persetujuan dengan kami bersetuju memberikan jawatan tiga Exco Kanan kepada mereka. "Bagaimanapun, Pas kemudiannya telah menipu pada saat akhir dan menyebabkan kerajaan PH dipimpin Peja terbentuk. "PN dan Pas tidak layak untuk mengkritik BN mengenai soal perpaduan, kesetiaan, tolak ansur dan integriti kerana koalisi berkenaan selalu mungkir janji pada saat akhir," katanya.
Posting Komentar untuk "Lebih baik berkawan dengan musuh daripada kawan tikam belakang . "